Temuduga masuk Pusat Latihan Polis Malaysia (PULAPOL) di Langkawi.





Inilah kisah aku. Dahulunya hanya seorang lelaki yang baru sahaja menamatkan sesi persekolahan menengah atas iaitu tingkatan 5. Tentang pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan hingga akhir hayat aku. Pengalaman menjalani latihan asas polis di PULAPOL Langkawi. Jujur aku katakan bahawa tidak pernah langsung terdetik di dalam hati apatah lagi menyimpan rasa untuk menjalani kehidupan sebagai seorang polis.

Selesai sahaja aku berjaya menamatkan sekolah, aku tidak lagi ada hati dan perasaan untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi walaupun aku mendapat tawaran yang ditunggu-tunggu oleh setiap pelajar iaitu tawaran masuk Tingkatan 6. Bukanlah kerana aku kecewa dengan keputusan SPM yang diterima tetapi perasaan aku lebih kuat untuk menceburi bidang kemahiran iaitu fibreglass skill (gentian kaca). Seronok tidak terkata. Susah untuk diungkap betapa bersyukurnya aku apabila diterima masuk ke GiatMara. Telah aku pasakkan dalam hati dan kepala bahawa aku mahu melakukan sebaik mungkin dan selagi daya masih boleh bertahan, aku pasti akan teruskan.  

Alhamdulillah selepas tamat belajar di Giatmara aku terus mendapat tawaran tuntuk merantau ke negeri Darul Ta'zim iaitu negeri Johor. Aku diberi peluang untuk melanjutkan lagi kemahiran aku dalam bidang yang sama iaitu fibreglass skill (gentian kaca) supaya aku boleh mendapatkan sijil kemahiran Malaysia (SKM tahap 1 & 2). Namun hanya disebabkan kemerosotan ekonomi yang berlaku ketika itu, aku gagal untuk untuk mendapatkan sebarang sijil lalu mengambil keputusan untuk pulang ke kampung tercinta. Demikian, aku rasa putus asa dalam bidang kemahiran dan sejak itu aku mula jauh tersasar dari bidang asal. Aku ke Penang untuk bekerja sebagai pembakar kuih bahulu kemudian ke Tanjung Malim sebagai seorang operator kilang Proton, dan aku membawa hati yang lara ke negeri Kedah untuk bekerja sebagai operator kilang kaca elektronik. Dipendekkan cerita, putaran hidup aku adalah seorang perantau yang tidak akan menetap lama di satu tempat. Namun tidak ku sangka-sangka bahawa disinilah bakal bermulanya kisah hidup aku sebagai seorang polis.

Salah seorang sahabat ada terbaca satu keratan surat khabar mengenai jawatan kosong polis, tetapi tempat temuduga tersebut  terlalu jauh dan memerlukan kenderaan sendiri untuk ke sana. Memandangkan tarikh temuduga semakin hampir,aku bersetuju untuk menghantar sahabat-sahabatku tetapi hanya disebabkan ada perasaan ingin membantu. Bayangkan seramai 6 orang termasuk aku di dalam sebuah kereta. Setibanya di lokasi, aku dan rakan-rakan diberi borang untuk diisi dan setelah siap, semua yang hadir diarahkan untuk mengukur ketinggian dan berat badan. Dari 5 orang sahabat, hanya 3 orang sahaja yang berjaya ke peringkat yang seterusnya termasuk aku. Maka aku dan rakan-rakan teruskan lagi ujian yang lain seperti ujian mata, ujian telinga, ukur lilit dada, ujian berkawad termasuklah cara berjalan. Bukan itu sahaja, aku disuruh test suara jerit dan ada penguji yang menyuruh untuk menyanyikan lagu Negaraku. Hatiku pasrah dan aku teruskan semua arahan yang diminta tanpa sebarang bantahan walaupun hakikatnya hatiku sudah mula menyumpah-nyumpah.

Akhirnya setelah seharian aku diseksa, aku berjaya lalui semua ujian tersebut. Maka bermulalah fasa yang terakhir iaitu temuduga bersama panel-panel. Bayangkan aku tidak bersedia langsung untuk menjawab soalan yang ditanya dalam Bahasa Inggeris. Habis keluar bahasa Inggeris karat aku untuk perkenalkan diri dan pengalaman bekerja. Semua soalan aku cuba jawab dengan hati dan muka yang tenang. Berakhirlah sudah sesi temuduga yang sangat memenatkan ini.

3 minggu selepas temuduga, aku mendapat panggilan telefon bahawa aku diterima untuk menjalani latihan asas polis di Pulapol Langkawi selama 6 bulan. Bersyukur tidak terhingga walaupun semua perkara yang terjadi tidak aku rancang. Maka bermulalah saat kehidupan aku sebagai seorang pelatih di Pulapol.


- Akan bersambung di bahagian 2-

Post a comment

0 Comments