Kehidupan pelatih di Pusat Latihan Polis Malaysia ( PULAPOL ) Langkawi.

PULAPOL LANGKAWI, polis, police

Tiba masanya untuk aku menetap di PULAPOL Langkawi, dan boleh dikatakan perasaan yang aku rasa ketika itu bercampur baur antara gembira dan seram. Semua beg yang aku bawa terus diperiksa oleh anggota polis yang bertugas di pos kawalan pintu utama. Terasa seperti seorang banduan pula apabila setiap ceruk beg aku dibuka dan hampir kesemuanya diperiksa dengan teliti. Rupa-rupanya hanya barang keperluan sahaja yang dibenarkan untuk dibawa masuk seperti pakaian, barang mandian dan lain-lain. Macam mana dengan rokok pula? Aku seorang perokok tegar dan habis kesemuanya dirampas oleh anggota polis tersebut. Aku mula gelisah mengenangkan bagaimana untuk aku bertahan selama berbulan-bulan di PULAPOL tanpa rokok yang aku cintai. 

Selesai sahaja pemeriksaan beg, aku diarahkan untuk terus ke blok penginapan dan di dalam bilik tersebut ada 18 buah katil bertingkat. Aku mula bersalaman dan berkenalan dengan pelatih-pelatih lain yang berasal daripada pelbagai negeri. 

Tiba-tiba kami didatangi oleh seorang anggota polis yang menjaga blok tersebut dan dengan nada yg keras beliau mula menjerit "berkumpul semua, buat 6 baris hadapan saya cepat!". Semua pelatih mula berkumpul, manakala pegawai tersebut mula memperkenalkan diri, beliau juga menerangkan peraturan yang perlu dipatuhi seperti dorm wajib dalam keadaan kemas serta perlu memastikan cadar sentiasa tegang. Bagi aku, itu semua tidak menjadi masalah kerana aku dididik dan sudah biasa melakukan kerja-kerja tersebut sejak kecil lagi. Paling aku terkejut dan tidak berapa setuju ialah ketika anggota polis tersebut meminta kami mengeluarkan telefon bimbit, simpan di dalam plastik lutsinar, tulis nama masing-masing, dipaksa untuk ikat dengan kemas dan semua telefon bimbit diletakkan di dalam kotak.

Aktiviti seterusnya adalah memotong rambut kerana di sini hanya dibenarkan satu fesyen rambut sahaja dan tanpa kerelaan hati, aku tadah sahaja kepala untuk dibotakkan. Selesai membersihkan diri, aku dan rakan-rakan dipanggil berkumpul di dewan makan untuk menikmati minum petang. Tapi bukan sekadar minum petang sahaja tau, setiap perbuatan diperhatikan oleh anggota polis yang menjaga tatatertib yang lebih dikenali sebagai PTT. Arahan yang diberi juga sangat jelas seperti berbaris, ambil makanan, tarik kerusi jangan ada bunyi dan pelatih di meja hadapan disurug untuk membacakan doa sebelum dan juga selepas makan. Sebaik sahaja selesai menikmati juadah petang, aku bersama pelatih lain terus menuju keluar dewan dan diajar bahawa setiap pergerakan di dalam pusat latihan mestilah mengikut platun (group) yang ditetapkan. Bagi yang tidak tahu, setiap platun mempunyai 16 orang pelatih jadi korang bayangkan betapa ramainya bila nak bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain. Aku ingatkan sudah selesai aktiviti petang ni rupanya kami perlu belajar cara berkawad dengan betul dan ramai pelatih yang terasa kekok disebabkan sudah lama meninggalkan kawad ini. Aku pula hanya meniru pelatih lain yang mempunyai asas kawad sambil berbunyi "kiri, kanan, kiri". 

Akhirnya tamat juga hari pertama di sini dan aku percaya hari kedua bakal menyakitkan mental dan fizikal aku. Dan apa yang aku fikirkan itu benar belaka, kerana kami dikerah habis-habisan sambil belajar pelbagai lagi jenis peraturan yang perlu dipatuhi. Bak kata anggota sana ' tiada hari tanpa latihan' . Seram kan? Tapi itulah yang dinamakan latihan dan dalam masa yang sama mendidik untuk berdisiplin dalam kehidupan seharian. 

Macam mana? Korang masih nak teruskan ke angan-angan untuk menjadi seorang polis?

Post a comment

0 Comments